Sebuah Catatan Harian dan Coretan Perjalanan Seorang Insan
Sunday, November 1, 2009
Info Kesihatan : Pemulihan Strok
Selain latihan fisioterapi, pesakit strok memerlukan sokongan daripada keluarga dan teman. Boleh dikatakan hampir semua pesakit mengalami rasa rendah diri, bersalah, tertekan, murung, berasakan diri tidak berguna dan menjadi beban keluarga serta hilang semangat untuk meneruskan hidup.
Pemulihan
Antara sasaran utama pemulihan ialah:
Membantu pesakit mempelajari semula sebanyak mungkin kemahiran yang hilang
Mencegah serangan strok berulang
Mencegah komplikasi akibat serangan strok
Masalah membabitkan pergerakan, pemikiran dan pertuturan biasanya bertambah baik dalam masa beberapa minggu ke bulan selepas serangan strok. Namun ada juga pesakit mengambil masa sehingga beberapa tahun.
Oleh kerana sebahagian besar pesakit strok tinggal bersama keluarga, penjaga juga diajar cara betul untuk membantu pesakit melakukan beberapa perkara asas seperti:
Berpindah kedudukan — dari katil ke kerusi roda, dari kerusi roda ke bangku atau kereta
Senaman rehabilitasi untuk menguatkan dan meregangkan otot yang lemah
Panduan penguasaan kemahiran — cara bercakap, bahasa isyarat (selain pertuturan menjadi kurang jelas, pesakit strok biasanya lebih sensitif. Jadi penjaga perlu bijak untuk berkomunikasi dengan mereka)
Strategi pengurusan — pengubahsuai keperluan harian di rumah untuk memudahkan pesakit
Penyediaan makanan — kebanyakan pesakit juga alami masalah untuk menelan makanan
Latihan asas di rumah
a. Baring ke duduk
Baring mengiring ke bahagian yang kuat (dengan bahagian yang lemah di atas) dan sokong bahagian badan yang lemah ini dengan bantal
Pastikan tangan yang lemah didekatkan pada badan supaya ia tidak terkulai ke belakang. Bantu pesakit untuk mengiring dengan memberi sokongan pada belakang badannya. Pastikan kedudukan anda rapat dengan pesakit supaya pesakit tidak berasa takut seolah-olah mereka akan jatuh
Bengkokkan kaki pesakit dan perlahan-lahan turunkan kaki pesakit ke hujung katil. Gunakan kaki yang kuat untuk membantu kaki yang lemah
Apabila kaki diturunkan dari katil, pinggul pesakit secara automatik akan bergerak untuk membantu mereka duduk. Perlahan-lahan bantu pesakit untuk duduk dengan memegang bahunya. Sesetengah pesakit sangat lemah dan tidak boleh duduk tegak. Jadi anda perlu ada rapat dengan pesakit bagi membantu mereka duduk dengan baik
Pastikan tapak kaki yang lemah ‘dibuka’ dan memijak lantai seperti kaki yang kuat
c. Duduk ke berdiri
Duduk tegak dan jarakkan kaki (sama jarak dengan hujung bahu). Kaki mestilah bengkok 90 darjah. Pastikan tapak kaki yang lemah memijak permukaan sepenuhnya (tidak senget, mengerekot atau tergantung)
Jika tergantung, kaki secara automatik akan kelihatan ‘jatuh’ atau senget ke tepi. Pesakit akan jatuh jika cuba bangun dalam keadaan kaki begini
Genggam kedua-dua tangan dan letakkan tangan di antara kaki. Ini untuk memastikan badan dalam kedudukan seimbang dan tidak senget ke bahagian yang lemah
Bongkokkan badan ke depan dan minta pesakit bangun perlahan-lahan. Berdiri rapat dengan pesakit untuk memberi sokongan jika perlu. Jika pesakit tidak kuat, penjaga perlu berdiri di depan pesakit ketika dia belajar bangun untuk menghalangnya daripada jatuh
b. Senaman ketika duduk
Luruskan bahu
Luruskan tangan yang lemah. Cuba gerakkan tangan ke depan dan ke tepi. Ini untuk merangsang pergerakan bahu. Proses pemulihan tangan bermula dari bahu. Ulang langkah ini beberapa kali
Strok menyebabkan otot menjadi tegang dan tangan pesakit akan tergenggam dengan sendiri. Bukakan genggaman ini dan letakkan tangan di atas tilam atau permukaan rata
Ubah suai rumah
Perubahan di rumah juga penting jika anda menjaga pesakit strok bagi mengelak kemalangan dan memudahkan pergerakan pesakit. Perubahan ini termasuk:
Menyimpan semua permaidani kecil (yang mudah bergerak dan boleh menyebabkan pesakit jatuh)
Mengurangkan peralatan rumah supaya memudahkan pesakit bergerak
Pastikan bilik pesakit dilengkapi bilik air atau dekat dengan bilik air
Di bilik air, pasang alat susur tangan supaya pesakit boleh memegangnya sebagai sokongan
Jika mangkuk tandas terlalu rendah, beli alas mangkuk tandas khas untuk dipasang di atasnya. Mangkuk tandas harus ada pada paras lutut bagi memudahkan pesakit bangun selepas selesai buang air
Pastikan semua keperluan mandi diletakkan pada kedudukan yang mudah dicapai
Beli peralatan rumah yang direka khas untuk pesakit strok di kedai alat bantuan perubatan. Tanya perunding fisioterapi atau terapi pekerjaan di mana kedai yang berhampiran dengan tempat tinggal anda.
No comments:
Post a Comment